Pengumuman

Untuk Mahasiswa Komputer Akuntansi Dan Manajemen Informatika yang mengambil mata kuliah Pemrograman Teks I, Untuk Melihat Nilai Kuis silahkan Perhatikan Kolom Labels, Disana Ada Menu Pemrograman Teks I, anda Klik- Maka Nanti akan tampil daftar nilai masing-masing Kelas si samping kirinya.untuk melihat lebih jelas silahkan di klik file tersebut.begitupun dengan tugas.
isan sandra fauji

Rabu, Februari 13, 2008

Tentang Merah Jambu

Cinta adalah kuasa yang paling menakjubkan di dunia ini. Cinta boleh mengalahkan semua kuasa yang ada di dunia ini samada kuasa senjata, politik dan ilmu pengetahuan. Malah cinta adalah tunjang mayapada ini. Cinta atau eros dalam bahasa Yunani mempunyai kuasa dinamik yang sentiasa berubah-ubah setiap zaman. Cinta atau eros sering menjadi sumber inspirasi yang paling dalam pada diri setiap insan. Dalam secebis dari puisi yang saya hasilkan terdapat kata, ... Namun cinta itu vitaliti...Insan adalah cinta, kasih menumbuhkan sayang...Sayang menjalinkan cinta dan cinta mendamaikan insan.

Dalam lagu Dewa disebut, ...dengan matamu ku memandang...dengan telingamu ku mendengar...dengan lidahmu aku bicara... Lirik lagu Dewa itu dilihat hampir sama nadanya dengan puisi sufi Rumi, Attar atau Khalil Gibran. Dalam puisi Arif Karkhi disebut ...lahirkan cinta, jangan malu!...kerana ia bukan mungkar...tidak aib, malah...rasa hati suci...tidakkah Azizah mengisytihar cintanya pada Kuthayyir? Rumi lebih gelisah lagi apabila bersenandung dalam puisi sufinya ...Api Cinta dalam seruling...ghairah Cinta dalam arak...serulinglah sahabat siapa saja...terasing dari kekasih...alunannya menusuk hati kami!... Sasterawan Negara, Profesor Muhammad Haji Salleh dalam kesedaran intelektualnya menyebut dalam puisinya ...cinta dibangunkan oleh bakat, tanpa seni...tak mungkin pernyataan ini dan tak mungkin cinta sebegini...

Cinta jugalah yang telah mengerakkan ribuan dan jutaan daya imaginasi dan inspirasi para karyawan untuk berkarya dan menghasilkan karya-karya seni yang hebat dan sesetengahnya bersifat mahakarya. Demikianlah rumusan dan keanehan yang diperolehi apabila selesai menonton dan menghayati filem hebat arahan Francois Girard, terbitan New Line Cinema bertajuk ‘The Red Violin’. Filem yang diterbitkan pada tahun 1999 lakonan Samuel L.Jackson, Greta Scacchi, Jason Flemyng, Don McKellar adalah filem bergenre drama, roman, misteri dan muzik. Filem ini mempunyai produksi yang amat baik, lakonan yang berkesan dan jalan ceritanya berlangsung sekitar 3 abad yang bermula sejak pembuatan Violin merah ciptaan Nicolo Bussotti di Cremona, Itali sekitar tahun 1681. Soundtrack filem terutama solo violinnya misteri, ‘deep’ dan seolah-olah menghantui misteri di sepanjang naratif. Solo violin banyak memainkan nota rendah dalam pergerakan tempo yang bersifat adagio. Ini memberi kesan lebih dalam terhadap jiwa dan perwatakan watak-watak utama terutama watak Nicolo Bussoti dan isteri kepada Nicolo Bussoti

Filem ini mengisahkan pengembaraan epik yang penuh misteri dan obses apabila Charles Morritz (lakonan Samuel L. Jackson) seorang pakar dalam mengenalpasti instrumen muzik telah menjumpai satu-satunya violin merah buatan Nicolo Bussotti dari Cremona, Itali yang di buat pada tahun 1681, diakui sebagai satu-satunya masterpiece of the golden age. Morritz telah membuat kajian terperinci berkenaan violin tersebut dan sepanjang kembara kajiannya, Morritz telah dapat menyelidik kembali bagaimana violin itu bertukar tangan dari seorang ke seorang, bagaimana hidup mereka yang memiliki violin tersebut dan peristiwa bersejarah di sepanjang kembara violin tersebut merentas benua.

Walaupun filem ini lebih memaparkan tentang drama, misteri dan muzik namun persoalan cinta adalah tema yang tersembunyi dan absurd di dalamnya. Cinta Nicolo Bussotti terhadap sang isteri dan anaknya telah menghasilkan sebuah Violin Merah yang paling bernilai di antara sekian banyak ciptaannya. Violin merah kemudiannya berpindah milik ke tangan Kaspar Weiss, seorang anak yatim di sebuah gereja di Austria. Kaspar Weiss menumpahkan segala rasa cinta dan obsesnya terhadap muzik dan violin merah walaupun kesihatan jantungnya yang lemah sehingga membawa kepada kematiannya. Demikian juga cinta Poussin terhadap muzik sehingga memaksa beliau bersama isterinya bergolok gadai semata-mata kerana apresiasi muzik. Cinta disampaikan dalam bentuk yang universal, bukan semata-mata cinta antara manusia sahaja. Rasa cinta dan apresiasi estetik Morritz terhadap muzik dan instrumen muzik klasik dan berharga sehingga beliau begitu obses terhadap kajiannya dan memaksanya mencuri Red Violin yang asli.

Estetika filem ini bukan sahaja dari aspek sinematografi, produksi, muzik latar, latar tempat dan masa serta lakonan tetapi juga melalui kepelbagaian bahasa pertuturan di dalamnya seperti bahasa Jerman, Itali, Perancis, China dan English. Mendengar bahasa pertuturan yang pelbagai itu sahaja sudah menerbitkan apresiasi estetik walaupun tanpa sarikata. Ini kerana filem mempunyai bahasa seninya yang paling mudah antara lain-lain bentuk seni kerana keupayaannya mengabungkan pelbagai bentuk seni. Tanpa sarikata pun, kepelbagaian bahasa ibunda dunia di dalam filem ini seumpama melodi yang menjadi akar budaya sesuatu bangsa. Keupayaan memahami bahasa filem sebenarnya menjadi lebih mudah jika seseorang penghayat telah memahami bahasa tampak dan bahasa sastera yang lebih sukar tahapnya.

Cinta kekal dan akan terus menjadi senjata dan kuasa yang paling hebat serta ajaib dan ini dipaparkan dalam filem ini melalui lakonan berkesan setiap pelakonnya menjiwai watak dan perwatakan. Cinta dan eros akan sentiasa menjadi sumber insprasi tidak sahaja kepada para seniman malah kepada setiap insan yang waras. Namun cinta yang indah adalah merangkumi cinta terhadap kesemuanya dari cinta terhadap Pencipta, Rasul, Insan, Alam dan lain-lain dan rasa cinta itu sentiasa disemai, dibajai dan dipupuk serta sentiasa mencari jalan untuk meningkatkannya. Eros yang sejati adalah cinta yang kukuh dan mendalam terhadap apa sahaja yang seseorang itu ingini untuk dicapai dan ini boleh dilihat melalui segala perwatakan, keyakinan, kesungguhan, ketabahan, usaha, pembelajaran dan tanpa mengenal lelah dan mundur untuk memperolehi sesuatu yang diingini.

Tidak ada komentar: